DAP Mahu Tanding DUN Kota Lama?

DAP dikatakan berminat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Desas desus mengatakan DAP menyasarkan kerusi DUN Kota Lama dengan calonnya adalah orang Melayu.

Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah ketika menjawab desas desus itu berkata, Pakatan Harapan belum membincangkan soal agihan kerusi di peringkat DUN sebaliknya memberi tumpuan di peringkat parlimen.

“Soal DAP meletakkan calon tidak berbangkit melibatkan parlimen, (tetapi) DUN ada (permintaan).

“Di peringkat parlimen hanya tiga parti bertanding melibatkan Amanah (PAN), PKR dan Bersatu,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan.

Beliau berkata, Pakatan Harapan Kelantan menyasarkan 12 daripada 14 kerusi parlimen untuk mendapat majoriti mudah bagi merampas kerajaan sedia ada.

Katanya, pimpinan Pakatan Harapan memberi peruntukan kerusi yang lebih besar kepada PAN di Kelantan.

“Amanah mengetuai di Kelantan, Terengganu dan Melaka dan saya yakin kita boleh melakukan sesuatu,” katanya.

Tambahnya, pertandingan tiga penjuru di Kelantan pada PRU-14 ini tidak lagi dapat dielakkan lagi apabila PAS mengambil keputusan untuk tidak bersama Pakatan Harapan. – 26 September 2017.