Kebakaran Pusat Tahfiz, Polis Cari Bukti Dibuang Dalam Tasik

Sepasukan anggota penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan penyiasat dan Unit Forensik dikerahkan ke Taman Tasik Datuk Keramat hari ini untuk mencari bahan bukti kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini.

Difahamkan, bahan bukti itu dipercayai pemutar skru yang digunakan tujuh suspek yang kemudiannya dibuang ke tasik berkenaan selepas insiden itu dilakukan.

Taman Tasik Datuk Keramat hanya terletak di belakang pusat tahfiz berkenaan.

“Pemutar skru itu dipercayai digunakan bagi memasuki premis berkenaan. Bahan bukti ini penting bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Turut kelihatan, seorang daripada tujuh suspek yang dibawa ke kawasan taman tasik berkenaan dipercayai bagi menunjukkan lokasi pemutar skru itu dibuang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Md. Isa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Semalam, polis membawa ketujuh-tujuh suspek ke lokasi kejadian dipercayai untuk menerangkan kepada pasukan penyiasat apa yang berlaku pada malam kejadian, 14 September lepas.

Kebakaran pusat tahfiz itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru akibat terperangkap di asrama di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

Pada Jumaat lepas, tempoh reman tujuh remaja disyaki terlibat dalam kes kebakaran di pusat tahfiz itu disambung tujuh hari lagi sehingga 29 September ini.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun yang sama kerana khianat menggunakan api. – Bernama, 26 September 2017.