Tukang Cuci Didenda RM3,000 Hantar Mesej Gambar Lucah

Gambar Sinar Harian

Seorang tukang cuci didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam selepas didapati bersalah menghantar mesej gambar lucah kepada jirannya.

Tertuduh, Mohd. Ismail Muda, 36, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad selepas pertuduhan terhadapnya dibaca.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 18 September lalu dengan menghantar mesej gambar lucah melalui telefon bimbit kepada jirannya seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Kampung Pulau Belanga, Kota Bharu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Sharifah Amirda Shtasha Amir Shariffuddi, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Nasir Abdullah.

Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan kerana menanggung kehidupan orang tuanya selain dia masih bujang.

Sharifah Amirda pula memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak mengulangi perbuatan yang menjadi kesalahan itu.

Tertuduh kemudian dikenakan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda. – 26 September 2017.