UMK Tidak Perlu Bersaing, Tetapi Berusaha Memberi Saingan

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hendaklah menumpukan perhatian kepada usaha untuk menjamin kualiti dan kecemerlangan dalam semua aspek yang menentukan kekuatan serta penjenamaan universiti.

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra bertitah, harapan yang tinggi juga diletakkan kepada UMK untuk tidak ketinggalan dalam melakukan lonjakan dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global.

“Namun, dalam waktu yang sama, kita juga jangan lupa memastikan sanjungan nilai dan fikrah keinsanan graduan yang dihasilkan perlulah dinamik dan seimbang dari sudut intelek dan rohani.

“Sebagai universiti keusahawanan, UMK perlu melipat gandakan usaha untuk menjadikan keusahawanan sebagai kekuatan utama bagi universiti ini.

“UMK perlu mempertingkatkan lagi ekosistem keusahawanan meliputi aspek akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan pelajar.

“Melalui pendekatan ini, UMK akan memperlihatkan kecemerlangan dari sudut sumber manusianya, penyelidikan transnasional, jalinan dan kerjasama industri, penjanaan pendapatan dan seterusnya kekal relevan kepada masyarakat dan negara,” titahnya.

Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dimasyhurkan sebagai canselor UMK yang baharu bagi menggantikan kekandanya Sultan Muhammad V semalam.

Baginda bertitah, dalam konteks Kelantan, UMK bukan hanya dilihat sebagai institusi pendidikan tinggi, tetapi turut memainkan peranan sebagai ejen dan nadi perubahan kepada pembangunan komuniti dan wilayah.

Titah baginda, peranan UMK untuk membantu pihak kerajaan memperkasakan aspek ekonomi dan sosial masyarakat terutamanya di luar bandar adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.

“Beta yakin dan percaya, dengan pengalaman yang telah dilalui, UMK akan terus menyusun strategi dan pendekatan yang baru bagi memperoleh pencapaiannya yang lebih tinggi.

“UMK mungkin tidak perlu bersaing, tetapi perlu berusaha memberi saingan. Ini hanya dapat dilakukan dengan melaksanakan strategi yang menjamin kelainan dan berkesan kepada kumpulan sasaran,” titahnya. – 26 September 2017.