Berseluar Pendek: Pihak Berkuasa Agama Perlu Adil

Rata-rata penduduk Kelantan tidak mempertikaikan Enakmen Jenayah Syariah di negeri itu, bahkan pemerintahan kerajaan berdasarkan prinsip Islam terus didukung sehingga kini.

Mereka mengharapkan cara pelaksanaannya hendaklah adil dan menyeluruh termasuklah bagi kesalahan orang yang memakai seluar pendek di negeri itu.

Haikal Nizam (bukan nama sebenar) berkata, orang Islam wajib mematuhi hukum yang telah ditetapkan dan tindakan pihak berkuasa agama terhadap perkara itu tidak boleh dinafikan.

“Tetapi pelaksanaannya mesti adil. Adil dalam erti kata bukan hanya menyaman orang yang memakai seluar pendek di tepi jalan sahaja.

“Pihak berkuasa agama perlu turun ke semua lapangan termasuk ke padang sukan kerana di situ majoriti orangnya berseluar pendek,” katanya.

Kata lelaki berusia 46 tahun itu lagi, pihak berkuasa agama akan dilihat lebih berintegriti dan berkredibiliti sekiranya mereka dapat melakukan perkara itu secara total.

Sebaliknya kata Haikal Nizam, kegagalan (pihak berkuasa agama) berbuat demikian membuatkan mereka akan dilabel sebagai ‘pengemis sementara’.

“Masa nak cari duit saman. Ada duit diam,” katanya.

Kesalahan berseluar pendek menjadi kontroversi apabila seorang lelaki Islam berdepan denda RM1,000 oleh pihak berkuasa agama Kelantan.

Kesalahan itu berlaku kepada Wan Khairul Hayye Wali kerana memakai seluar pendek untuk bermain futsal.

Ekoran itu dia diberikan notis dan diarah menghadiri sesi kaunseling bulan depan. Sekiranya gagal berbuat demikian dia akan dihadapkan ke mahkamah syariah dan boleh didenda sekiranya didapati bersalah.

Lelaki berusia 30 tahun itu yang sudah memakai seluar pendek untuk bermain futsal sejak sekolah mengatakan tidak tahu wujudnya peraturan melarang pemakaian itu.

“Sangat mengejutkan saya bila pegawai penguatkuasa agama memberikan saya saman, mengatakan saya melanggar Enakmen Jenayah Syariah kerana mendedahkan lutut saya.

“Takkanlah mereka mahu saya pakai kain sarung untuk main futsal,” kata pekerja am di sebuah kedai itu.

Dalam kejadian itu, dia cuba menjelaskan kepada pegawai terbabit yang dia dalam perjalanan untuk bermain futsal dan keluar daripada keretanya sebentar membeli burger untuk isterinya.

“Jika saya tak berhenti beli burger, saya tak akan tahu yang salah pakai seluar pendek walaupun kita dalam perjalanan nak bersukan.

“Sekiranya ia kesalahan, mereka perlu beritahu kepada orang awam. Bagaimana kita patut tahu yang satu kesalahan pakai seluar pendek hendak main bola,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Sidek Yusof (bukan nama sebenar) berpandangan hampir sama dengan Haikal Nizam berkata, pihak berkenaan wajar keluarkan satu notis awam berhubung perkara berkaitan.

Katanya, ia bagi menjelaskan kepada umum bahawa Kelantan akan menguatkuasakan kesalahan undang-undang memakai seluar pendek.

“Saya tidak pertikai hukum mendedah aurat. Tapi bila pihak berkuasa agama mahu kuatkuasakan kesalahan undang-undang ini biarlah telus.

“Jangan kuman di seberang laut nampak tapi gajah di hadapan tidak,” kata lelaki berusia 39 tahun itu.

Katanya, kesalahan mendedah aurat terlalu ramai bukan sahaja kepada golongan lelaki tetapi wanita.

“Mereka (pihak berkuasa agama) boleh pergi ke pusat-pusat beli belah contohnya, di situ bukan sahaja ada lelaki yang memakai seluar pendek bahkan anak-anak gadis berpakaian menjolok mata.

“Kalau sungguh-sungguh, turun ke tempat-tempat seperti itu, berapa banyak boleh saman orang yang mendedahkan aurat,” ujarnya.

Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Kelantan mengatakan kod pakaian itu hanya terpakai untuk orang Islam.

“Kami tak ambil tindakan kepada orang bukan Islam, malah tak bertindak pun kepada perempuan bukan Islam yang pakai seluar pendek di tempat awam.” – 27 September, 2017.