Seluar Pendek Tidak Kena Saman Jika Pakai Di Gelanggang

Memakai seluar pendek untuk bersukan di lokasi bersesuaian seperti gelanggang atau padang bola, lelaki muslim di Kelantan tidak akan disaman penguat kuasa agama.

Ketua Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, notis saman terhadap seorang pemuda kelmarin kerana dia didapati memakai seluar pendek di tempat tidak sesuai.

“Notis ini selaras dengan Seksyen 5 (1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 iaitu perbuatan tidak sopan di lokasi awam.

“Sebenarnya peraturan ini bukan baharu, sebaliknya sudah termaktub sejak 1985, namun kita tidak kuatkuasakan secara tegas sehingga sekarang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, tular di media sosial salinan notis menyatakan Wan Khairul Hayyee Wali, 30, melanggar undang-undang kerana berseluar pendek dan diarahkan menghadiri sesi kaunseling bulan depan.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzuli memberitahu, notis sama pernah dikeluarkan terhadap beberapa lelaki lain yang memakai seluar pendek di tempat awam namun hanya kes Wan Khairul Hayyee mendapat perhatian kerana tular di media sosial.

Katanya, langkah mengeluarkan notis arahan supaya menghadiri sesi kaunseling itu bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mahu mendidik semua umat Islam tidak kira lelaki atau perempuan supaya mengambil langkah menutup aurat.

“Tahun ini, sesi kaunseling pertama sudah pun berjalan dan melibatkan kira-kira 70 individu yang didapati melanggar peraturan tidak menutup aurat. Majoritinya ialah golongan wanita,” katanya.

Sementara itu, Wan Khairul Hayyee dilaporkan mendakwa, dia dalam perjalanan untuk bermain futsal dan menerima notis berkenaan daripada seorang penguatkuasa ketika singgah membeli burger di tepi jalan.

Pemuda berkenaan juga mendakwa tidak mengetahui kewujudan larangan memakai seluar pendek di tempat terbuka di seluruh negeri itu.

Dia bagaimanapun akur terhadap notis arahan supaya menghadiri sesi kaunseling bersama JHEAIK. – 27 September 2017.