Suspek Remaja Bakar Tahfiz Boleh Disebat

Suspek remaja terlibat dalam kes kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa baru-baru ini boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Bekas hakim Mahkamah Sesyen Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, suspek tidak boleh dijatuhkan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana masih di bawah umur.

Namun katanya, dengan nasihat pegawai perubatan, mereka boleh dikenakan hukuman sebat.

“Di bawah undang-undang, seseorang pegawai perubatan akan memeriksa fizikal dan mental banduan, sama ada individu berkenaan boleh dikenakan sebatan atau sebaliknya.

“Kalau kita buat salah, cikgu rotan kita. Macam itulah. Kalau salah boleh disebat dengan rotan,” katanya selepas majils syarahan “10th Tun Suffian Memorial Lecture” di Universiti Malaya.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, suspek yang terlibat dalam kes itu tidak boleh dijatuhkan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana masih di bawah umur.

Abdul Aziz berkata, dalam kes tersebut, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terperinci sebelum mendakwa mereka.

Pada Jumaat lepas, tempoh reman tujuh remaja disyaki terlibat dalam kes kebakaran di pusat tahfiz itu disambung tujuh hari lagi sehingga 29 September ini.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun yang sama kerana khianat menggunakan api. – 26 September 2017.