Bakar Tahfiz, Dua Didakwa Bunuh

Dua remaja berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh 23 pelajar termasuk dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, dua minggu lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua remaja itu dituduh bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Prosiding kes itu yang bermula pada 12.05 tengah hari sehingga 12.25 tengah hari berlangsung di Mahkamah Majistret 7 di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup kerana ia melibatkan kes juvana.

Hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di bilik bicara.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah, Mohd Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA, 28 September 2017.