Bantuan Banjir, NGO Digalakkan Daftar Dengan Nadma

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan misi bantuan bencana digalakkan mendaftar dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi memudahkan penyelarasan bantuan dilakukan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul. Rashid Harun berkata, pada masa ini, sebanyak 200 NGO daripada seluruh negara telah mendaftar dengan Nadma untuk tujuan tersebut.

Katanya, NGO telah memainkan peranan yang cukup penting dalam melicinkan perjalanan bantuan di sesuatu kawasan bencana.

“Kita minta mereka mendaftar dengan Nadma supaya segala bantuan yang disalurkan akan lebih teratur. Kita akan tentukan apa bantuan yang diperlukan mangsa dan NGO akan menghantar bantuan ke kawasan terbabit.

“Kita tidak mahu lambakan bantuan yang fokus pada satu kawasan semasa peristiwa bah kuning tiga tahun lalu berulang. Pada masa itu, banyak NGO hanya tumpu di Kuala Krai sedangkan bantuan boleh disalurkan di kawasan lain yang lebih memerlukan,” katanya selepas merasmikan penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut di Kem Batalion 8, Pasukan Gerakan Am.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, pihaknya telah melakukan persediaan bagi memastikan penyelarasan gerak kerja dalam menghadapi kemungkinan banjir di Pantai Timur berjalan lancar.

Dalam masa sama kata beliau, pihaknya juga akan menambahbaik beberapa keperluan khususnya untuk petugas banjir.

“Kita juga bercadang menambah beberapa aset tertentu bagi menghadapi bencana tersebut,” katanya. – 28 September 2017.