Pemuda PAS Sifatkan Husam Mengigau

Dewan Pemuda PAS menyindir Datuk Husam Musa dengan menyifatkan Naib Presiden PAN itu sebagai berbakat menjadi pengarah sinetron berikutan beberapa tindakannya sebelum ini yang suka membuat cerita.

Malah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari turut menyifatkan Husam sebagai mengigau berikutan dakwaannya bahawa PAS akan bekerjasama dengan UMNO.

Katanya, sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu sudah beberapa kali membuat pelbagai dakwaan terhadap PAS termasuk pernah menuduh parti itu menerima dana RM90 juta daripada UMNO.

“Kali ini apabila Datuk (Husam) menyebut retreat PAS di Pulau Pangkor membincangkan isu kerjasama UMNO-PAS serta surat daripada bekas pimpinan parti itu diperingkat pusat yang tidak setuju, ia terlalu spesifik dan sekali lagi membuktikan Datuk masih mengigau.

“Semoga bila Datuk terjaga, pintu hati Datuk terbuka untuk bersama-sama perjuangan yang sebenar,” katanya dipetik daripada status facebooknya.

Kelmarin Husam mendakwa PAS berniat untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun gagal dilaksanakan berikutan mendapat tentangan daripada pemimpin kanan parti itu.

Husam dilaporkan mendakwa, beberapa bekas pemimpin kanan termasuk veteran parti dan bekas wartawan yang kini menjadi anggota badan penasihat PAS tidak bersetuju dengan hasrat tersebut. – 28 September 2017.