Empat Maut Kemalangan Babitkan Treler, Kereta

Empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi tadi.

Difahamkan empat mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu adalah pasangan suami isteri dan dua anak mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.34 pagi.

Beliau berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi bersama tiga jentera bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa agak lama kerana terpaksa memotong kereta yang remuk,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdullah Daud, mengesahkan kejadian tersebut namun, identiti mangsa belum diketahui. – 29 September 2017.