Tiada Rancangan Kenaikan Cukai Dalam Bajet 2018

Kerajaan tidak merancang untuk menaikkan cukai dalam Bajet 2018 kerana ia akan membebankan lagi rakyat yang ketika ini berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

Malah Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha mencari kaedah untuk mengurangkan kesan kenaikan kos tersebut dalam belanjawan itu nanti.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan amat memahami dan sedaya upaya berusaha menyelesaikan beban yang membelenggu rakyat.

“Kita tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan lagi cukai ke atas rakyat, saya tahu rakyat berdepan banyak bebanan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi mudah alih insurans motor GetCover hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendapatan kerajaan bagaimanapun juga perlu diambil kira.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, beliau yakin asas negara kekal kukuh berdasarkan peningkatan eksport, nilai dagangan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dan harga minyak mentah dunia yang stabil.

“Setiap kali harga minyak mentah naik AS$1 (AS$1=RM4.22) setong, perolehan kerajaan akan meningkat kira-kira RM300 juta,” katanya.

Harga minyak mentah purata ketika ini berada pada AS$57 setong berbanding AS$54 setong pada 2016.

Bagaimanapun katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira faktor luaran seperti ketegangan geopolitik semasa antara Korea Utara dan Amerika Syarikat.

“Situasi itu menimbulkan ketidaktentuan dalam ekonomi dunia, terutama ekonomi serantau, serta kedudukan kita (Malaysia) yang terletak berhampiran negara terbabit (Korea Utara),” katanya. – 29 September 2017.