Tian Chua Dipenjara Sebulan

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dipenjara sebulan selepas menarik balik rayuan terhadap sabitan melanggar arahan polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada 2012.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Mohtaruddin Baki, menetapkan hukuman itu bermula hari ini.

Tian Chua menjalani hukuman tersebut di Penjara Kajang.

Naib Presiden PKR itu didapati bersalah di bawah Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959 kerana menolak arahan meninggalkan Kompleks Pulapol di Jalan Semarak pada 29 April 2012, sehari selepas dia ditahan dalam perhimpunan Bersih 3 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Tian Chua melucutkan peguamnya, N Surendran dan menyuarakan kesediaannya untuk dipenjarakan.

“Saya tidak didakwa kerana mengambil bahagian di dalam satu perhimpunan haram. Dakwaan terhadap saya adalah berkaitan kehadiran saya di Pulapol, di mana saya ditahan pada hari tersebut.

“Saya didakwa melakukan kesalahan menceroboh ‘kawasan larangan’ iaitu Pulapol. Dengan penuh hormat, saya ingin memaklumkan mahkamah ini saya menarik balik rayuan saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa terkejut dengan tindakan serta keputusan Tian Chua itu.

“Saya semalam sudah tanya apakah keputusan yang akan beliau buat hari ini, tetapi dia enggan beritahu,” katanya. – 29 September 2017.