Jangan Biarkan Kuasa Politik Jatuh Ke Tangan Bukan Islam

PAS mengingatkan seluruh umat Islam supaya bangkit mempertahankan kuasa politik daripada dikuasai golongan bukan Islam di negara ini.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, sejak akhir-akhir ini, umat Islam bukan sahaja gagal mendominasi ekonomi bahkan daripada aspek kuasa politik turut dikuasai bukan Islam sehingga mereka semakin berani memperlekeh dan menghina Islam.

Malah katanya, golongan berkenaan juga semakin terbuka mempromosikan budaya Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) selain berani mempertahankan pesta arak diadakan di negara ini.

“Apa yang berlaku hari ini memberi isyarat besar kepada kita (umat Islam) supaya bangkit dan tidak membiarkan mereka terus menghina agama Allah.

“Apabila kuasa politik tidak dikuasai oleh Islam maka kita akan merana di negara sendiri,” katanya ketika berucap pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu. – 30 September 2017.