PAS Sifatkan DAP Angkuh

PAS menyifatkan tindakan DAP yang mengingatkan mereka supaya tidak mencampuri urusan penganjuran Better Beer Festival 2017 di Selangor sebagai angkuh.

Justeru, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan memberi peringatan tegas terhadap parti cauvinis Cina itu bahawa PAS akan menentang habis-habisan sebarang penganjurannya.

“Apabila pesta diadakan untuk mempromosikan arak, ia adalah langkah mencabar sensitiviti umat Islam dan kita tidak akan benarkan,” katanya kepada media selepas Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengingatkan PAS supaya tidak mencampuri urusan penganjuran pesta arak di Selangor.

Sambil menemplak PAS, Teng Chang dilaporkan berkata, kadar Aids dan masalah sosial di Kelantan adalah lebih tinggi berbanding Selangor meskipun pesta arak tidak dianjurkan di negeri yang diperintah parti Islam itu.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta Better Beer Ferstival 2017 atas sebab keselamatan selain ia bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.

Bagaimanapun timbul ura-ura pesta arak tersebut akan dipindahkan ke Selangor tetapi mendapat tentangan daripada banyak pihak.

Pesta berkenaan sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Oktober di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza dari 43 kilang arak seluruh dunia. – 30 September 2017.