Pemangku Raja Kelantan Prihatin Nasib Mangsa Kebakaran 

Slug Sultan Kebakaran Kota Bharu 30 September 2017 Pemangku Raja Kelantan ,Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, beramah mesra dengan mangsa kebakaran selepas menyampaikan bantuan kepada 15 mangsa kebakaran di Istana Kota Lama di sini semalam Gambar Rosni Masri Pemberita Zaain Zin
Nasib 11 keluarga yang hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Wakaf Mek Zainab, Ahad lalu mendapat perhatian Pemangku Raja, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Baginda berkenan menyampaikan bantuan kewangan kepada kesemua mangsa dalam satu majlis di Istana Kota Lama.
Baginda dalam pada itu turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan memberi kata-kata semangat supaya mereka semua tabah menghadapi dugaan Allah SWT.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Mohd. Syakir Zakwan Abdul Rahim, 27, berkata, kebakaran itu menyebabkan dia, isterinya dan anak mereka yang baru berusia enam bulan tinggal sehelai sepinggang.
Katanya, akibat kesempitan hidup selepas ditimpa musibah itu, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak mempunyai pilihan selain menumpang di rumah ibu bapanya di Bachok.
“Kami berterima kasih kepada Tuanku Pemangku Raja kerana prihatin dengan nasib rakyat. Bantuan kewangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya terutama bagi membeli barangan keperluan anak saya yang baru lahir.
“Buat masa ini kami tiga beranak terpaksa menumpang dulu di rumah keluarga saya di Bachok. Insya Allah bila keadaan kewangan kembali stabil barulah kami rancang semula untuk memulakan hidup baharu,” katanya.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi Ahad lalu, kediaman 11 keluarga berkenaan musnah dalam kebakaran dalam tempoh 40 minit namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – 30 September 2017.