Bukan Dibayar, Paksaan Hadir Himpunan Fastaqim

Kehadiran ratusan ribu ahli dan penyokong PAS khususnya dalam kalangan anak muda sepanjang dua hari Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu membuktikan mereka terus kekal istiqamah dalam perjuangan Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Muhamad Khalil Abdul Hadi berkata, kesemua mereka yang hadir dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak itu bukannya dibayar atau dipaksa sebaliknya atas kesedaran untuk bersama-sama berjuang di jalan yang diredai Allah.

Di atas semangat dan istiqamah tersebut, beliau yakin PAS kini berada di landasan yang tepat menuju kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Di atas tuntutan istiqamah kita datang dari seluruh pelosok negara menyertai himpunan ini. Inilah akidah perjuangan yang kita tanamkan dalam kalangan ahli PAS sejak sekian lama.

“Diharapkan Allah menerima usaha dan pengorbanan kita ini selain menjadi satu titik dan suara perubahan rakyat untuk melihat Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Pemimpin PAN, Hanipa Maidin mempersoalkan himpunan tersebut selain menyifatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai mengarut kerana menggesa seluruh ahli PAS hadir ke Himpunan Fastaqim 2.0 itu.

Dalam masa sama Hanipa juga dilapor mempersoalkan apa kaitan antara program itu dengan janji dan taat setia kepada perjuangan Islam.

Sementara itu, Muhamad Khalil berkata, seluruh jentera khususnya daripada Pemuda PAS sudah bersedia menjadi sayap paling hadapan parti bagi menghadapi PRU-14.

“Setakat ini, kita sudah turun padang berjumpa dengan jentera pemuda di hampir semua kawasan seluruh negara.

“Insya-Allah jentera pemuda bersiap-siaga membawa obor parti Islam menuju kemenangan dalam pilihan raya,” katanya. – 1 Oktober 2017.