DAP Suka Lagakan Melayu Dan Cina Kata Cheng Guan

Parti Cinta Malaysia (PCM) menyifatkan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng sebagai seorang pemimpin yang kuku besi atau diktator.

Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan mendakwa, sepanjang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dalam tempoh sembilan tahun ini, Guan Eng gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan baik selain menindas masyarakat Melayu khususnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar menolak Guan Eng dan DAP keseluruhannya kerana parti itu dilihat boleh memecahkan keharmonian kaum di negara ini.

“DAP ini parti bahaya, Dia hendak jadi Timbalan Perdana Menteri, semua kawasan dia hendak rampas. Mereka juga suka lagakan Melayu dan Cina selain menanamkan kebencian melibatkan dua kaum tersebut.

“Saya rasa Malaysia akan lebih aman dan makmur tanpa DAP,” katanya ketika berucap sempena malam kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal.

Sementara itu, Cheng Guan turut memuji PAS dengan menyifatkan parti itu jauh lebih baik daripada DAP khususnya melibatkan dalam kalangan pemimpinnya yang bebas rasuah.

“Ia berbeza dengan DAP dimana Guan Eng sendiri juga dikaitkan dan didakwa atas tuduhan rasuah. Pemimpin PAS mana pernah didakwa atau ditangkap sebab rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi cadangan agar himpunan Fastaqim yang menarik kehadiran 200,000 orang diadakan di Pulau Pinang selepas ini. – 1 Oktober 2017.