Kuala Krai Pusat Pelancongan Luar Bandar

UMNO Bahagian Kuala Krai akan berusaha membantu membangunkan beberapa tempat menarik di daerah itu sekali gus menjadikan Kuala Krai sebagai kawasan pelancongan luar bandar.

Ketuanya, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, kebanyakkan kawasan di daerah tersebut cukup berpotensi sebagai destinasi pelancongan yang unik dengan keindahan alam semulajadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, tempat-tempat berkenaan tidak mempunyai kemudahan yang lengkap bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Kawasan Kuala Krai mempunyai banyak kawasan menarik iaitu Gua Ikan dan Gunung Stong di Dabong serta Air Terjun Lata Rek di Laloh serta Lata Kertas.

“Namun kawasan berkenaan masih belum mempunyai kemudahan yang lengkap untuk pengunjung. Kita akan cuba berusaha membantu bagi membangunkan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Menghidupkan Semula  Kompleks Gua Ikan, Dabong.

Hadir sama Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Aidil Afizie Daud.

Pada program tersebut, seramai 200 sukarelawan telah terlibat dalam kerja-kerja membersih dan mengindahkan kawasan pelancongan berkenaan.

Dalam pada itu, Ramzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong turut berharap agar pihak pelancongan dapat membantu merancakkan lagi eko-pelancongan di kawasan berkenaan.

“Kita akan memberi sepenuh kerjasama dalam usaha untuk menghidupkan semula destinasi pelancongan di kawasan ini.

“Selain itu, kita juga percaya meskipun Majlis Daerah Dabong berada di bawah kerajaan negeri, namun mereka juga sedia memberi kerjasama,” katanya. – 1 Oktober 2017.