PAS Istiqamah Syariah Sebagai Perjuangan Parti

PAS terus istiqamah meletakkan Islam sebagai akidah dan syariah menjadi perjuangan parti itu meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS telah melalui pelbagai cabaran dalam usaha menegakkan Islam termasuk pernah mendapat tentangan daripada bekas Perdana Menteri ketika parti itu meluluskan rang undang-undang untuk melaksanakan hudud di Kelantan selain desakan mengharamkan perkataan Islam digunakan pada nama parti.

Bagaimanapun katanya, PAS tidak pernah berganjak daripada terus menegakkan syiar Islam dan akhirnya pada masa ini perjuangan parti untuk melaksanakan undang-undang Islam semakin dapat direaliasikan.

“Terbukti PAS terus istiqamah walaupun pemimpin silih berganti, tinggalkan PAS namun kita terus berkembang. Kalah menang tidak pernah menjadi ukuran bagi PAS dan kita akan terus menegakkan Islam,” katanya ketika berucap pada malam kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu.

Tambah Abdul Hadi, usaha PAS untuk menegakkan undang-undang Islam mula menampakkan hasil menerusi RUU 355 yang mendapat kerjasama daripada kerajaan.

“Hari ini kita dapat lihat kemajuan hasil perbincangan PAS dengan Pusat. Menerusi budaya politik matang yang diamalkan kita akan bekerjasama dalam perkara yang baik dan menentang sebarang keburukan,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS akan bertanding di seberapa banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Selain itu, beliau juga melihat kalangan anak muda terus bersama PAS dan perkara itu terbukti dengan kehadiran mereka yang menjadi majoriti pada himpunan Fastaqim kali ini.

Menyentuh mengenai pesta arak yang dirancang diadakan di Selangor, beliau berkata, langkah mengadakan pesta minuman keras itu boleh mengganggu dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

“Justeru, kita tunggu dan lihat apa tindakan daripada kerajaan Selangor selepas ini,” katanya. – 1 Oktober 2017.