PAS Perlu Bersedia Hadapi Serangan, Fitnah

PAS perlu bersedia berdepan dengan serangan daripada pelbagai sudut oleh pelbagai pihak menjelang Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14).

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semakin hampir dengan pilihan raya pelbagai adu domba, fitnah atau maklumat tidak tepat akan tersebar khususnya melalui media sosial.

Sehubungan itu katanya, seluruh ahli PAS perlu bersiap sedia menangkis segala serangan tersebut selain tidak mudah terpengaruh dengannya.

“PRU-14 akan tiba pada bila-bila masa, saya percaya kita akan diserang daripada pelbagai sudut terhadap PAS dan Gagasan Sejahtera.

“Kita akan terus bergerak bersama Gagasan Sejahtera bagi menumpu agenda yang lebih besar iaitu untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” katanya ketika berucap pada malam kemuncak Himpunan Fastaqim 2.0, di Kuala Terengganu malam tadi. – 1 Oktober 2017.