Keluaga Harap Pelaku Dikenakan Hukuman Berat

Keluarga Allahyarham Laskar Kanan 1, Nik Mohd. Baihaqy Nik Mat berharap individu-individu yang bertanggungjawab di atas kematian mangsa dikenakan hukuman seberat-beratnya.

Kakak sulung Allahyarham, Nik Noorliliwati, 44, berkata, ini kerana tindakan pelaku yang mendera adiknya sehingga menyebabkan kematian sangat tidak berperikemanusiaan.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian Nik Mohd. Baihaqy namun pelaku terbabit perlu mendapat pembalasan setimpal di atas tindakan kejam itu,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee memaklumkan, Nik Mohd. Baihaqy dan seorang lagi anggota, Muhammad Lailatulman Mohd. Sukri, 26, yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, di Ipoh dipercayai didera.

Berikutan itu, polis mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun. – 2 Oktober 2017.