Denda Pakai Seluar Pendek Di Kelantan

Rakyat Kelantan yang beragama Islam boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan jika memakai seluar pendek paras atas lutut.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, hukuman tersebut termaktub mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985.

Jelasnya, mengikut enakmen berkenaan, memakai seluar pendek paras atas lutut dan perempuan yang berseluar serta berbaju ketat, berlengan pendek, tidak bertudung, adalah kesalahan dalam adab berpakaian.

“Undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, yang bertujuan mendidik umat Islam memakai pakaian sopan dan juga menanam kesedaran kepada remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat.

“Saya meminta semua pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai isu besar atau mencipta konflik antara orang Islam dan bukan Islam di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pada 25 September lalu, seorang pemuda diberi notis arahan menghadiri sesi kaunseling kerana memakai seluar pendek di tempat terbuka.

Lelaki itu yang ditahan ketika dalam perjalanan ke gelanggang futsat diarahkan hadir ke sesi kauseling tersebut pada minggu depan bersama 10 lagi individu, termasuk empat perempuan yang didapati melakukan kesalahan berpakaian tidak sopan.

Tambah Che Mohd. Rahim, bermain bola sepak dengan memakai seluar pendek atas paras lutut di negeri itu juga adalah satu kesalahan.

“Bagaimanapun, kita dalam peringkat berdakwah dan memberi kesedaran pada orang ramai, setakat ini tiada tindakan yang diambil terhadap mereka (pemain bola sepak),” katanya. – 3 Oktober 2017.