Empat Faktor Anak Muda Tidak Minat Politik

Exco Pemuda UMNO Rahman Hussin menggariskan empat faktor utama golongan muda tidak berminat untuk terlibat dalam politik mana-mana parti.

Empat fakor itu adalah, merasakan tiada kesan terhadap mereka, kekangan masa dan tenaga, tanda protes dan rasa tidak percaya terhadap pemain-pemain politik.

Beliau berkata, anak muda merasakan penglibatan mereka dalam politik negara tidak memberi sebarang kebaikan kepada mereka.

“Pandangan saya sendiri, mereka tidak dapat melihat penglibatan mereka itu memberi kesan secara terus kepada kehidupan mereka.

“Sebab itu, mereka merasakan andai terlibat atau mengambil peduli tentang politik ia tidak memberikan apa-apa. Bahasa mudahnya, kalau ikut politik, bukan boleh naik gaji sekalipun,” katanya.

Beliau berkata, anak muda pada hari ini lebih memikirkan masa depan dan bekalan mencukupi untuk kelangsungan hidup.

“Faktor kekangan masa dan tenaga ini berkaitan dengan kos sara hidup sebab kebanyakan anak muda sekarang lebih risau tentang memastikan dapur di rumah berasap daripada membabitkan diri dengan aktiviti politik.

“Sebab mereka lebih baik fokus kepada kerja bagi memastikan sumber pendapatan mencukupi. Jadi mereka merasakan tidak perlu terlibat dengan politik, janji ada makanan di dapur,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, penolakan anak muda terhadap politik negara adalah isyarat protes kerana hanya individu sama menerajui politik negara.

“Kita harus melihat ini mungkin satu tanda protes terhadap politik negara di mana melibatkan pemain-pemain sama.

“Jadi oleh sebab itu mungkin ia dijadikan alasan buat mereka; alahai nak buat apa, kalau masuk politik pun masih lagi orang yang sama; Sampai sekarang pun kita masih bergantung harap pada orang yang sama.,” katanya.

Jelasnya lagi, fenomena orang muda tidak mahu mengambil pusing soal politik merupakan fenomena global.

“Maksudnya, mereka tidak percaya dengan institusi politik negara. Mereka bosan. Bagi mereka terlibat atau tidak, ambil tahu atau tidak, tidak boleh tukar apa-apa sekalipun,” katanya. – 3 Oktober 2017.