Pengawal Keselamatan Sekolah Tidak Dibayar Gaji

Kira-kira 48 pengawal keselamatan yang ditugaskan di 12 sekolah di daerah Kota Bharu menuntut tunggakan gaji yang tidak dibayar oleh majikan mereka.

Masalah itu berlaku sejak setahun lalu namun, ia semakin membebankankan apabila gaji mereka tidak dibayar sepenuhnya sejak dua bulan lalu.

Menurut seorang wakilnya, Roslan Kamarulzaman, 48, masalah itu bermula selepas tender yang dimiliki sebuah syarikat bertukar ke syarikat yang lain September tahun lalu.

“Sebelum ini gaji kami dibayar dengan baik, namun lama kelamaan gaji kami dibayar secara ansuran, ada RM400, ada RM500 bermula awal tahun ini.

“Hinggalah masalah dihadapi ini berlarutan sehingga kemuncak terjadi apabila gaji tidak langsung dilunaskan pada dua bulan ini,” katanya.

Katanya, setiap perkara itu dibangkitkan, majikan memberi alasan Pejabat Pendidikan Daerah belum serahkan wang gaji.

Dia berkata, setiap bulan mereka terbabit membuat laporan polis dan Pejabat Buruh agar masalah tersebut dapat diselesaikan.

“Hari ini kami datang ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk beri maklumat kepada mereka supaya menyiasat dan membela kes kami,” katanya ditemui di hadapan Pejabat SPRM Kelantan semalam.

Katanya, masalah tersebut sekali gus menjadi tekanan kepada mereka yang terpaksa menanggung perbelanjaan hidup keluarga.

“Kami mempunyai anak yang sedang bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.

“Dan dalam kalangan kami ini ada yang tinggal di rumah sewa maka, mereka perlu bayar sewa rumah,” katanya. – 3 Oktober 2017.