Warga Emas Hilang Ditemukan Lemah, Separuh Bogel

Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang semalam ditemukan dalam keadaan lemah oleh penduduk kampung di Sungai Tok Sadang, Pengkalan Chepa pagi ini.

Mangsa, Halimah Salleh, 75, yang menghadapi masalah Alzheimer atau nyanyuk ditemukan kira-kira pukul 9.15 pagi dalam keadaan separuh bogel iaitu kira-kira enam kilometer dari rumahnya.

Anak mangsa, Haslina Awang, 33, berkata, ibunya keluar dari rumah mereka di Pantai Cahaya Bulan (PCB) pada pukul 1 petang semalam.

Katanya, selepas menyedari kehilangan ibu, dia dan kakak meminta bantuan penduduk kampung mencarinya

“Alhamdulilah ibu ditemui selamat walaupun dalam keadaan lemah kerana sudah tiga hari tidak makan. Sehingga kini keadaan ibu masih lemah.

“Kami terkejut apabila dimaklumkan ibu ditemui dalam sungai. Nasib baik ketika itu air cetek dan saya tidak dapat bayangkan keadaan ibu sekiranya air pasang,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Katanya, ekoran daripada kejadian itu, mereka sekeluarga membuat laporan polis kira-kira pukul 8 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Ridzuan Baharudin, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan kehilangan warga emas itu kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

“Operasi mencari dilakukan di Sungai Lubuk Jambu selepas mendapat laporan warga emas itu dilihat di lokasi berkenaan.

“Namun, pagi ini penduduk memaklumkan menemui warga emas itu dalam keadaan melambai tangan meminta pertolongan,” katanya. – 3 Oktober 2017.