Fastaqim 2.0 Bukti Kekuatan PAS?

Himpunan Fastaqim 2.0 yang berlangsung pada 29 dan 30 September lalu di Kuala Terengganu mencatat kehadiran lebih 200,000 orang seperti diwar-warkan penganjur program berkenaan.

Sejak awal pagi program itu bermula penyokong PAS dari seluruh negara mula memenuhi Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus bagi menyertai Fastaqim 2.0, satu program yang dirancang sebagai himpunan terbesar parti itu.

Antara lain himpunan tersebut diadakan adalah bagi memperlihatkan sokongan padu dan membina momentum kebangkitan baharu parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Persoalannya, adakah himpunan tersebut cukup untuk membuktikan PAS masih kuat selepas melalui perpecahan besar-besaran sehingga tertubuhnya parti serpihan, PAN.

Adakah PAS masih gah dan diterima pengundi sebagai mana ketika mereka berada di dalam Pakatan Rakyat dahulu.

Hakikatnya, jika dilihat perpecahan PAS dalam gabungan pakatan pembangkang menyebabkan ramai khususnya dalam kalangan anak muda dan pengundi di bandar mula beralih arah.

Justeru PAS cuba membuktikannya dengan mengadakan himpunan tersebut meskipun jika dilihat ia tidak lebih daripada sekadar ceramah biasa-biasa yang sering diadakan parti itu.

Inpatinya dilihat seperti biasa dimana para pemimpinnya menyerang PAN dan parti-parti dalam Pakatan Harapan lain termasuk mengulangi keyakinan sama cuba menewaskan Barisan Nasional.

Mereka juga menguwarkan-uwarkan bahawa PAS adalah parti terbaik untuk menggantikan BN memerintah negara.

Malah, ucapan penutup daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam kemuncak tersebut juga dianggap terlalu biasa dengan banyak menyentuh soal istiqamah dalam perjuangan parti.

Pada peringkat awal, mungkin ramai ternanti-nanti apabila Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan memaklumkan bakal berlaku kejutan pada malam kemuncak himpunan tersebut kononnya terdapat tokoh nasional akan menyertai PAS.

Ternyata kejutan tersebut meleset sama sekali. Hanya dua bekas pegawai kanan kerajaan yang tampil. Itupun bukan untuk menyertai PAS sebaliknya hanya menyatakan sokongan terhadap usaha parti itu memerangi rasuah.

Dalam masa sama, himpunan tersebut juga dilihat medan untuk parti itu mengutip derma secara besar-besaran.

Apa yang harus dipuji dengan penyokong PAS ini, mereka akan tetap menderma meskipun sudah berbuat demikian beberapa kali sebelum itu.

Malah ada diantara penyokong yang hadir sanggup menderma barangan kemas mereka atas rasa ingin membantu perjuangan parti. Difahamkan hampir 10 barangan kemas didermakan pada malam itu.

Secara keseluruhanya, adakah himpunan tersebut membuktikan PAS cukup kuat. Jawapannya, sama-sama kita nanti pilihan raya nanti.