Hanya Masalah Tatatertib, Anak Saya Didera Sampai Mati’

Ibu kepada Allahyarham Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatulman Mohd. Sukri meluahkan rasa terkilannya dengan tindakan individu yang mendera anaknya sehingga mati ketika ditahan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Ipoh, Jumaat lalu.

Dalam masa sama, Che Yah Che Kob, 52, juga menyifatkan perbuatan pelaku terbabit cukup zalim kerana hanya disebabkan mempunyai masalah tatatertib, anaknya dipukul sedemikian rupa.

“Saya tidak dapat gambarkan betapa terseksanya anak saya apabila dipukul sehingga mati. Jika mahu denda anak saya akibat kesalahan tatatertib, dendalah dalam bentuk pengajaran, bukannya diperlakukan seperti itu.

“Apa perasaan pembunuh itu ketika memperlakukan anak saya?. Adakah tiada langsung rasa kasihan sebagai rakan sekerja,” katanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee memaklumkan, Nik Mohd. Baihaqy dan seorang lagi anggota, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, di Ipoh dipercayai didera.

Berikutan itu, polis mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Sementara itu, Che Yah berkata, dia tidak akan menyimpan dendam terhadap pelaku tersebut sebaliknya berharap individu terbabit mendapat pembalasan setimpal.

Dalam pada itu, isteri Allahyarham, Nur Liya Asmira Yahya, 24, berkata, dia berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil.

“Saya juga akan melantik peguam bagi menuntut keadilan sewajarnya. Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga ada berjumpa saya dan berjanji akan membuat siasatan secara menyeluruh,” katanya. – 4 Oktober 2017.