Pejabat UMNO Kubang Kerian Dipecah Masuk

Pejabat UMNO Bahagian Kubang Kerian yang terletak di Jalan Hilir Pasar dipecah masuk oleh suspek yang tidak dikenali.

Kejadian tersebut disedari oleh salah seorang pekerja kira-kira pukul 8.15 pagi apabila mendapati pintu kaca dan pintu gril hadapan bangunan itu diumpil.

Pegawai Khas kepada Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Mohd. Nuri Samat berkata, sebaik memasuki pejabat beliau mendapati dokumen yang terletak di dalam biliknya berselerak.

“Saya cuba memeriksa beberapa bilik lain, turut mendapati dokumen  berselerak di atas lantai dan meja.

“Tetapi yang agak pelik dan timbul tanda tanya ialah barangan lain termasuk komputer serta komputer riba yang berada di pejabat tidak dilarikan suspek,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani berkata, kejadian ini merupakan kali kedua pejabatnya dipecah masuk pada tahun ini.

Kali pertama pejabat itu dipecah masuk ialah pada awal tahun.

Muhammad berkata, pihaknya tidak pasti masa kejadian itu berlaku namun percaya antara malam hingga awal pagi. – 4 Oktober 2017.