Tiada Kerjasama, PAS Tetap Lawan BN

PAS menyangkal dakwaan kemungkinan wujud kerjasama antara PAS dan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah, parti Islam itu sebaliknya terus mempertahankan pendirian akan tetap menentang UMNO dalam pilihan raya itu nanti.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, isu kerjasama dengan UMNO tidak timbul kerana PAS sudah bersiap sedia untuk berdepan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan menjelang PRU14.

“PAS telah berkali-kali menegaskan tiada kerjasama politik dengan UMNO-BN mahupun Pakatan Harapan.

“Mungkin Annuar Musa punya motif atau muslihat politik tertentu tetapi di pihak PAS kami fokus ke arah menghadapi UMNO-BN dan Pakatan Harapan pada PRU14 ini,” katanya memetik laporan sebuah portal berita online hari ini.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam dialog “Perjuangan4All” parti itu di Balik Pulau malam tadi
berkata, UMNO dan PAS akan menyaksikan “kerjasama yang semakin kuat” menjelang PRU14.

Beliau berkata, situasi ini mungkin berlaku kerana kedua-dua parti mempunyai banyak persamaan dalam perjuangan politik mereka.

“Ada persamaan yang bertembung, seperti matlamat perjuangan kami, yang lebih penting. Kerana itu, saya jangka akan ada kerjasama antara Umno dan PAS daripada semasa ke semasa.

“Tunggu beberapa minggu atau bulan lagi bila pilihan raya makin dekat.

“Saya percaya kepimpinan Umno dan PAS akan mengumumkan tentang kepentingan agama yang akan menjadikan orang Melayu dan Islam gembira,” katanya.

Roslan berkata, PAS sudah mempersiapkan jentera pilihan raya mereka untuk berdepan BN dan PH. – 4 Oktober 2017.