UMNO, PAS Mungkin Bersatu?

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa membayangkan kemungkinan wujudnya kerjasama UMNO dan PAS menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau meletakkan kemungkinan itu berdasarkan kedua-dua parti mempunyai banyak persamaan dalam perjuangan politik walaupun pendekatannya masing-masing adalah berbeza.

“Ada persamaan yang bertembung, seperti matlamat perjuangan kami, yang lebih penting. Kerana itu, saya jangka akan ada kerjasama antara UMNO dan PAS dari semasa ke semasa.

“Tunggu beberapa minggu atau bulan lagi bila pilihan raya makin dekat.

“Saya percaya kepimpinan UMNO dan PAS akan mengumumkan tentang kepentingan agama yang akan menjadikan orang Melayu dan Islam gembira,” katanya pada dialog “Perjuangan4All” UMNO di Balik Pulau malam tadi.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata, di bawah kepimpinan semasa, PAS kelihatan lebih bersedia untuk mempertimbangkan persamaan mereka dengan UMNO.

“Sebelum ini, PAS mencari jalan untuk memisahkan dirinya daripada UMNO, tetapi di bawah kepimpinan sekarang, nampaknya ada perubahan. Mereka kini berfikir tentang apa persamaan yang kita ada.

“Sebenarnya, UMNO dan PAS ada banyak persamaan. Mari kita raikan itu,” katanya.

Beliau berkata, musuh sebenar UMNO adalah DAP yang mempunyai DNA berbeza.

Katanya, DAP adalah manifestasi Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura yang cuba mencetuskan politik perkauman dengan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia.

“Sedangkan kerajaan yang ada sekarang sentiasa memelihara hak identiti budaya, bahasa dan kebebasan beragama orang Cina sejak negara mencapai kemerdekaan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak percaya dengan hubungan antara DAP dan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Annuar, DAP hanya mahukan dominasi dan akan menggunakan Mahathir yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun untuk memecah belahkan orang Melayu.

“Anda percaya ke DAP sokong Dr. Mahathir? DAP serang dia sepanjang masa di Parlimen ketika dia berkuasa. Sekarang bila dia dah tak ada kuasa, DAP sokong dia.

“Saya tak rasa mereka percaya sesama sendiri. Mereka bekerjasama kerana DAP perlu guna Dr. Mahathir untuk pecah belahkan orang Melayu. – 4 Oktober 2017.