DAP Tidak Ada Harapan Di Kota Bharu Kata PAS

PAS yakin pengundi di Kota Bharu akan menolak DAP yang dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen tersebut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya melihat sokongan pengundi khususnya bukan Islam terhadap PAS dan kerajaan negeri masih kukuh.

“Bagi saya, mana-mana parti bebas untuk bertanding di mana-mana kerusi termasuklah Kota Bharu. Tetapi melihat kepada sokongan bukan Melayu, mereka (DAP) tidak ada peluang,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu malam tadi.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah memaklumkan bahawa DAP telah memohon untuk bertanding khususnya di kerusi DUN.

Difahamkan DAP mungkin akan bertanding di kerusi DUN Kota Lama, Galas, Gua Musang dan Parlimen Kota Bharu. – 5 Oktober 2017.