Dataran Cheng Ho Mercu Tanda Baharu Kota Bharu

Kewujudan Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho di Jalan Kebun Sultan bakal menjadi mercu tanda baharu khususnya bagi masyarakat Cina di Kota Bharu.

Pelancaran pintu gerbang dianggarkan bernilai RM600,000 itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob malam tadi.

Ahmad berkata, pintu gerbang tersebut secara signifikannya membuktikan keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.

Katanya, pintu gerbang tersebut yang bersempena dengan nama Laksamana Cheng Ho adalah seorang tokoh hebat terawal datang ke rantau ini dan dikagumi seluruh masyarakat.

“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kewujudan pintu gerbang ini. Saya harap komuniti Tiong Hwa dan seluruh masyarakat pelbagai kaum dapat menikmat hidup dalam suasana aman damai di negeri ini.

“Saya juga berharap kerjasama seluruh masyarakat di Kota Bharu terus erat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut. – 5 Oktober 2017.