Pemuda PAS Kelantan Kata Mahathir Nyanyuk

Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai nyanyuk kerana mendakwa kemenangan PAS di Kelantan akan membawa keburukan.

Ketua Penerangannya, Nazman Che Iberahim berkata, beliau perlu sedar rakyat Kelantan telah memberi peluang kepada parti itu memerintah sudah enam penggal.

“Sedarkah Dr. Mahathir, PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1990 dan dalam tempoh tersebut, rakyat makin selesa dengan segala kebaikan dan kebajikan yang dibawa PAS kepada rakyat,” katanya.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa rekod PAS selama ini tidak memberi sumbangan kepada orang Melayu dan agama Islam selain menyatakan bahawa kemenangan parti itu di Kelantan hanya akan membawa nasib buruk.

Dalam masa sama beliau juga berkata PAS tidak akan menang di peringkat Pusat selain menyifatkan parti itu sebagai pengacau yang memecahbelah dan melemahkan orang Islam.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, Mahathir sebenarnya menjadi punca kepada perpecahan selain merosakkan fahaman umat Islam selama ini.

Katanya, sejak sekian lama PAS telah memainkan peranan dalam menyatupadukan umat Islam di negara ini dan momentum tersebut dapat dilihat melalui usaha parti itu memperjuangkan RUU 355.

“Akan tetapi, Dr. Mahathir lah yang sekian lama menghina Islam, merendah-rendahkan syariat Islam hingga pernah menyindir dengan mengatakan sekiranya Kelantan melaksanakan Hudud, maka orang ramai boleh datang ke negeri ini menikmati sup tangan.

“Dan Dr. Mahathir jugalah yang memecahbelahkan umat Islam dengan mengatakan hukum jenayah Syariah yang PAS perjuangkan bukan hukum Allah tetapi Hudud PAS semata-mata. Ini menyebbakan rakyat beragama Islam berselisih faham sejak sekian lama,” katanya. – 5 Oktober 2017.