3,300 Peluang Pekerjaan Untuk Rakyat Kelantan

Sebanyak 40 syarikat pelabur tempatan dan luar negara menawarkan lebih 3,300 peluang pekerjaan menerusi  Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kelantan 2017 yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong.

Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam karnival tersebut ialah pengeluar semikonduktor terkemuka dari Jepun, ROHM-Wako Electronics Sdn. Bhd., dan pelabur terbesar di ECER iaitu Alliance Steel (M) Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, karnival tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan hari ini dijangka akan dihadiri 10,000 pengunjung.

“Para pengunjung berpeluang merebut lebih 3,300 pekerjaan yang ditawarkan 40 syarikat pelabur tempatan dan asing daripada pelbagai sektor seperti pembuatan, hartanah, logistik serta keusahawanan di Wilayah Timur Pantai Timur (ECER).

“Peluang pekerjaan dan keusahawan ini membuktikan bahawa transformasi di ECER berjalan lancar. Wilayah ini semakin dinamik dan berdaya saing dengan lebih banyak pelabur menawarkan pekerjaan,” katanya dalam majlis perasmian karnival tersebut.

Perasmian Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kelantan 2017 disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. – 6 Oktober 2017.