5,000 Kaunselor Asas Bantu Mangsa Banjir

Seramai 5,000 kaunselor asas dilatih sebagai persediaan untuk ditempatkan di 5,208 pusat pemindahan banjir di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Rahim berkata, perkara tersebut adalah sebagai langkah tambahan yang diperkenalkan pihaknya selepas mendapati masih terdapat kekurangan ketika menguruskan mangsa banjir sebelum ini.

“Apabila saya turun padang melawat mangsa-mangsa banjir ini, saya dapati dalam kalangan mereka yang masih murung meskipun kita menyediakan kemudahan yang cukup.

“Jadi kita berpandangan bahawa apa yang dilakukan sebelum ini sebenarnya masih tidak cukup. Jadi kita hendak tambah baik dengan menyediakan khidmat kaunselor di pusat pemindahan.

“Kaunselor asas ini akan berperanan untuk mendengar segala permasalahan mangsa. Apabila mereka meluahkan apa yang terpendam seterusnya mengatasi masalah kemurungan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Negaraku Keluarga Bahagia peringkat negeri Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK).

Mengulas lanjut, Rohani berkata, pada masa ini, pihaknya telah melatih lebih 600 kaunselor asas di Kelantan dan jumlah tersebut dijangka bertambah apabila orang ramai dilihat menunjukkan minat untuk membantu mangsa ketika banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri-negeri Pantai Timur. – 6 Oktober 2017.