Lelaki Mental Pukul Jiran Sehingga Mati

 

Seorang lelaki maut akibat dipukul dengan sebatang kayu oleh jirannya yang merupakan pesakit mental dalam kejadian di tepi tali air di Kampung Ana, Tumpat kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Mohd. Khairi Mohd. Yusoff, 47, meninggal dunia serta-merta selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepada.

Ekoran daripada kejadian itu, polis telah berjaya menahan suspek berkenaan sejam selepas kejadian dan direman selama seminggu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, selepas ditahan, suspek telah membawa anggota polis ke lokasi pembunuhan tersebut dan menunjukkan mayat mangsa yang dalam keadaan terlentang berlumuran darah.

Katanya, difahamkan suspek yang berusia 29 tahun itu mengenali mangsa termasuk ahli keluarganya.

“Kita masih menjalankan sisatan berhubung motif suspek memukul mangsa dengan menggunakan kayu yang merupakan alatan yang digunakan Mohd. Khairi untuk menangkap ikan.

“Suspek mempunyai tiga rekod lampau termasuk kes dadah dan mencederakan orang. Kita akan siasat daripada setiap sudut sama ada suspek tidak waras atau sebaliknya semasa kejadian,” katanya.

Tambah Din Ahmad, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga. – 6 Oktober 2017.