Mahathir Pelupa, Dakwaannya Tidak Berasas

PAS menyangkal dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya PAS sebagai punca perpecahan dalam kalangan umat Islam sebagai tidak berasas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS merupakan parti Melayu Islam yang mempunyai lebih sejuta ahli dan lebih 99 peratus adalah beragama Islam.

“Jadi tohmahan PAS pecah belahkan orang Melayu itu adalah tidal logik atau tak masuk akal. Orang boleh nilai daripada segi kenyataannya yang kita sendiri rasa tidak boleh percaya,” katanya.

Kelmarin Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa rekod PAS selama ini tidak memberi sumbangan kepada orang Melayu dan agama Islam selain menyatakan bahawa kemenangan parti itu di Kelantan hanya akan membawa nasib buruk.

Dalam masa sama beliau juga berkata PAS tidak akan menang di peringkat Pusat selain menyifatkan parti itu sebagai pengacau yang memecahbelah dan melemahkan orang Islam.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga menyifatkan Dr. Mahathir sebagai seorang pelupa apabila sanggup menjejakkan kaki ke pejabat DAP yang pernah disifatkannya sebagai parti rasis sebelum ini.

“Saya rasa Dr. Mahathir ini sudah tidak berapa ingat apa dia kata. Hari ini kita tengok dah melawat Pejabat DAP, DAP yang dulu dia kata rasis, cauvinis,” katanya. – 6 Oktober 2017.