PAS Semakin Bercelaru, 50 Ahli Tendong Berhijrah Ke UMNO

Seramai 50 ahli PAS dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong berhijrah menyertai UMNO setelah hilang keyakinan terhadap perjuangan parti itu yang didakwa semakin bercelaru.

Borang penyertaan mereka diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam majlis Jamuan Rakyat di Kampung Paloh, Tendong Pasir Mas hari ini.

Mat Zaid Junoh, 55, yang mengetuai kumpulan itu berkata, mereka berhasrat  menyertai UMNO sejak 10 tahun lalu apabila melihat tindak tanduk PAS dalam pakatan pembangkang sebelum ini.

“Selepas kematian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat parti ini dilihat semakin bercelaru, PAS juga kekal dengan sikap menuding kesalahan kepada pihak lain.

“Saya tertarik dengan ikatan silaturahim sesama orang UMNO terutama yang ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi.

“Walaupun sudah aktif dengan PAS Cawangan Tepi Sungai Tendong sejak 29 tahun lalu tapi sudah sampai masa saya masuk UMNO dan jejak saya turut disertai dua orang anak perempuan saya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang berkenaan.

Sementara itu, Mustapa berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai lagi akan menyertai UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Angka 50 orang ini adalah jumlah yang besar, selalunya dalam empat hingga lima orang sahaja.

“Setakat ini kita dapat maklumat ada sahabat-sahabat kita di Pasir Puteh dan Kuala Krai akan turut sama dalam perjuangan UMNO,” katanya. – 6 Oktober 2017.