Pesta Arak, Kerajaan Selangor Lebih Pentingkan Politik

Kerajaan Persekutuan tetap dengan pendirian ‘haram’ Pesta Arak secara terbuka di negara ini namun kelulusan dan kebenaran pesta berkenaan tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Negeri di mana ianya dianjurkan.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian itu berasaskan tuntutan majoriti rakyat selain kemungkinan kesan negatif di sebalik pesta seumpama itu.

“Ia juga sebagai menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara yang selama ini tidak pernah menghalang rakyat bukan Muslim meminum minuman keras secara lebih berhemah (tertutup).

“Jangan salahkan Kerajaan Persekutuan sekiranya apa-apa impak negatif seperti masalah sosial, jenayah atau ancaman di luar jangkaan. Pesta Arak yang akan diadakan di Selangor memang tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kayuhan Santai Bijak Bersedekah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Garu, Pasir Puteh hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, kelulusan yang memberi laluan penganjuran pesta itu menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri Selangor lebih mementingkan kedudukan politik dengan menafikan desakan majoriti rakyat. – 7 Oktober 2017.