Apa Perjanjian Dr. Mahathir Dengan Kit Siang?

Semua pihak wajar meragui tindak tanduk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang cukup mesra dan saling menyokong sejak kebelakangan ini.
Hubungan baik mereka disifatkan sebagai terlalu ‘luar biasa’.
Antara yang paling ketara apabila Dr. Mahathir menjilat ludah sendiri dengan mempertahankan DAP dan mengeluarkan kenyataan parti itu bukan chauvinis Cina, sebaliknya parti harmoni yang berbilang kaum.
“Saya yang mulakan label DAP sebagai parti cauvinis Cina. Tetapi apabila saya mendekati mereka, saya mendapati mereka bukan parti hanya untuk Cina seperti MCA,” katanya sebagaimana dilaporkan Free Malaysia Today.
Terbaharu, egonya runtuh apabila beliau membuat kunjungan pertama kalinya ke pejabat DAP sekali gus memecah rekod 22 tahun sebagai penentang tegar kepada perjuangan Malaysian Malaysia DAP.
Sementara itu, Kit Siang pula membuat pusingan U enggan memberi kerjasama terhadap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal tukaran wang asing (Forex) yang merugikan Bank Negara Malaysia (BNM).
Sedangkan, beliau individu yang membangkitkan perkara itu pada tahun 1994, iaitu setahun selepas tersebarnya berita bahawa negara kerugian berbilion-blilion ringgit dalam pelaburan tersebut.
Kit Siang juga merupakan orang pertama yang memberikan gambaran jumlah kerugian kerajaan dalam forex trading telah mencecah separuh daripada jumlah rizab negara yang ketika itu keseluruhannya berjumlah sebanyak RM60 bilion.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pihak tertanya-tanya, bagaimana kedua-dua pemimpin berkenaan boleh berubah sikap 360 darjah jika tidak ada agenda tersembunyi.
“Selama ini Kit Siang gelar Dr. Mahathir ‘diktator’ dan beliau sendiri dikenali sebagai seorang pemimpin yang ultra Melayu. Sementara itu Dr. Mahathir pula tuduh Kit Siang ‘racist’ dan anti Islam. Kedua-duanya berubah sikap 360 darjah.
“Persoalan yang timbul sekarang, bagaimana boleh ada kerjasama politik sebegitu intim. Mereka saling mempertahankan satu sama lain padahal sebelum ini mereka seteru. Adakah memang ada satu perkara besar dan luar biasa sedang berlaku?” katanya.
Baru-baru ini, Pengendali blog, Raja Petra Kamarudin menerusi portal Malaysia Today mendakwa, Dr. Mahathir membuat perjanjian dan menyogok Kit Siang sebanyak RM1 bilion bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.
Raja Petra mendakwa, antara sebahagian daripada perjanjian itu adalah Kit Siang tidak akan ‘mendedahkan apa-apa’ berhubung skandal Forex selain memberi laluan mudah kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dikatakan, RM750 juta telah dibayar setakat ini dan apabila kerusi Mukhriz disahkan maka bakinya akan dibayar.
Mengulas lanjut perkara itu, Annuar berkata, dakwaan berkenaan perkara serius dan jika ia adalah fitnah, kedua-dua pemimpin berkenaan perlu membersihkan nama mereka termasuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menyiasatnya.
“Kit Siang tidak perlu ugut ingin menyaman media yang menyiarkan berita ini.
“Selama ini dia juga yang bercakap tentang kebebasan media, jadi kenapa mahu saman media. Bukan kerja media mahu tentukan beliau bersalah atau tidak,” katanya.