Kassim Ahmad Meninggal Dunia

Bekas aktivis sosial dan politik Dr. Kassim Ahmad meninggal dunia di Hospital Kulim, Kedah pada pukul 10 pagi hari ini setelah tidak sedarkan diri sejak semalam akibat masalah paru-paru.

Kassim, 84, yang pernah dilabel sebagai anti hadis dan menentang pihak berkuasa agama, dimasukkan ke hospital sejak bulan lalu meninggalkan seorang isteri, tiga orang anak dan 11 cucu.

Lahir pada 9 September 1933, Kassim aktif dalam Kelab Sosialis haluan kiri semasa jadi mahasiswa di Universiti Malaya di Singapura.

Beliau dan beberapa mahasiswa UM yang lain mencabar cara pengajaran dan pembelajaran pengajian Melayu di universiti itu, dan mendesak sistem yang lebih terbuka.

Pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka selepas tamat pengajian di universiti sebelum bertugas sebagai pensyarah pengajian Melayu di School of Oriental and African Studies, Universiti London selama empat tahun. Beliau seterusnya menolak tawaran jawatan tetap di fakulti itu sebaliknya pulang ke Malaysia kerana panggilan politik.

Semasa aktif dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia bersama Ahmad Boestamam, Kassim jadi guru sementara di Sekolah Menengah Abdullah Munshi di Pulau Pinang, namun khidmatnya dihentikan pada 1969 selepas beliau menyebarkan risalah parti sosialis itu kepada pelajar-pelajarnya.

Sejak itu, Kassim jadi penulis bebas, penterjemah, wartawan  dan guru. Selepas PSRM, beliau masuk UMNO.

Dalam bidang penulisan, beliau telah menulis lebih 20 buah buku dan esei serta puisi yang kebanyakannya berunsurkan keagamaan.

Bukunya, “Hadis: Satu Penilaian Semula” menyebabkan dirinya dicap sebagai anti hadis.

Kassim pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1985 dan Anugerah Penyair Gabungan Penulis-Penulis Nasional (Gapena) pada 1987. – 10 Oktober 2017.