Adik Shafie Apdal Direman Lima Hari

Hamid Apdal, adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan peruntukan projek luar bandar di Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

Terdahulu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon tahanan reman selama tujuh hari dikenakan terhadap Hamid tetapi mahkamah mengurangkan kepada lima hari.

Majistret Stephanie Sherron Abbie membenarkan permohonan itu tengah hari tadi selepas Hamid, 52, ditahan jam 9.30 malam tadi.

SPRM dijangka melakukan beberapa lagi tangkapan dan menyiasat sehingga 60 syarikat antara 2009 hingga 2015 membabitkan peruntukan persekutuan sebanyak RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah.

Kira-kira RM1.5 bilion didakwa diselewengkan dalam tempoh itu.

SPRM setakat ini membekukan RM180 juta dalam beberapa akaun. – 11 Oktober 2017.