ECRL, Kemudahan Dinantikan Usahawan Kelantan

Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bukan sahaja menjadi mercu kebanggaan rakyat Kelantan dalam arus perubahan landskap pembangunan malah ia bakal merapatkan jurang logistik membawa masuk pelabur ke negeri itu.

Memetik laporan sebuah portal, projek tersebut ternyata akan memberi impak besar kepada industri termasuk industri kecil dan sederhana memacu pertumbuhan ekonomi.

Presiden Persatuan Dewan Perniagaan Cina Kelantan Yap Heng Orr, ketika bercakap kepada portal berkenaan mengakui bahawa kekurangan lebuh raya besar dan landasan kereta api menghubungkan negeri itu dengan Terengganu menjejaskan potensi ekonomi negeri.

“Jadi bila tiada lebuh raya, ia sudah tentu amat berisiko kepada perniagaan kerana masa lama untuk menghantar barang.

“Kalau ada ECRL, sudah tentu akan lebih ramai pelabur yang datang, sebab mereka akan lebih untung membuka kilang di sini kerana harga tanah dan tenaga kerja jauh lebih murah.” katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.

Yap berkata, Kelantan berkongsi sempadan dengan Thailand dan kos untuk membuka dan mengendalikan kilang jauh lebih rendah berbanding negeri lain.

Katanya, ECRL akan merangsang ekonomi negeri dan secara tidak langsung ia memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Ia akan menjana ekonomi sebab rakyat ada pendapatan maka menaikkan kuasa beli mereka dan peniaga akan datang membuka kedai mereka di sini, faktor itu semua berkaitan,” katanya yang juga seorang ahli perniagaan.

ECRL ialah projek mega kerjasama China-Malaysia yang juga sebahagian daripada inisiatif infrastruktur China, “One Belt, One Road” dengan matlamat untuk mengembangkan pengaruh ekonomi dan perdagangannya di wilayah ini.

Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Kelantan optimistik akan kemudahan daripada projek ECRL itu nanti yang akan membawa perubahan dan menarik lebih banyak pelaburan.

ECRL akan bermula dari Gombak, Selangor merentasi 23 stesen di Pahang, Terengganu dan Kelantan dan dijangka siap pada 2024.

Ia dikatakan mampu memendekkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan dengan empat jam.

Pada masa ini perjalanan kereta api perjalanan yang sama mengambil masa antara lapan hingga 12 jam.

Kerja pembinaan di Kelantan sudah bermula di mana 445 hektar tanah sudah diperoleh.

Fasa pertama di bahagian Kelantan sepanjang 46 kilometer bermula di sempadan Kelantan-Terengganu membabitkan tiga stesen di Tok Bali, Jelawat dan Tunjong.

Fasa kedua sejauh 24 kilometer dengan dua stesen akan dibina di Wakaf Baru dan Pengkalan Kubor, di Tumpat. – 11 Oktober 2017.