PLUS Tutup Operasi Tambah Nilai 17 – 19 Oktober

Kesemua 134 lorong tambah nilai di plaza tol PLUS akan ditutup pada 17 hingga 19 Oktober ini sempena cuti perayaan Deepavali bagi menangani kesesakan lalu lintas.

Penutupan itu bagaimanapun tidak melibatkan lorong tambah nilai di plaza tol Bukit Kayu Hitam dan Bangunan Sultan Iskandar.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, secara puratanya satu transaksi urusan tambah nilai boleh mencecah sehingga tiga minit untuk setiap kenderaan.

“Penutupan lorong tambah nilai di plaza-plaza tol amat perlu bagi mengelakkan kesesakan disebabkan oleh pengguna lebuh raya beratur untuk menambah nilai kad.

“PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya,” katanya.

Katanya, pengguna lebuh raya boleh menambah nilai kad di 9,200 lokasi lain yang terdiri daripada mesin ATM, kedai serbaneka 24 jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain lagi. – 11 Oktober 2017.