UMNO Kelantan Boleh Bangkit Bukan Dengan Janji

Janji parti politik menjelang pilihan raya kini tidak lagi relevan bagi menarik sokongan pengundi untuk mengundi parti masing-masing.

Rakyat sudah muak dengan situasi itu kerana kebanyakan janjinya tidak pernah tertunai sehingga bertemu pilihan raya yang ke seterusnya dan janji serupa kembali diulangi.

Misalnya dalam konteks politik Kelantan yang telah dikuasai PAS hampir tiga dekad, UMNO masih belum terlambat malah mampu mencipta keajaiban pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Seorang aktivis UMNO dari salah sebuah bahagian yang hanya mahu dikenali dengan Rosli berkata, UMNO Kelantan boleh bangkit semula dari kejatuhan bukan dengan janji-janji.

“Tetapi, pandangan peribadi saya ialah kekuatan UMNO akan kembali terserlah jika kita membantu menunaikan janji yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan PAS.

“Mungkin itu adalah sebahagian daripada kaedah (selain soal dalaman parti) agar rakyat faham UMNO lebih berkredibiliti,” katanya kepada Sokmo.net hari ini.

Antara janji kerajaan PAS Kelantan ialah menghapuskan cukai pintu dan bayaran tempat letak kenderaan, pembinaan pelabuhan darat di Kuala Krai, pembelaan terhadap nasib Orang Asli dan menyediakan tapak rumah kepada golongan miskin.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, seorang pemerhati politik Dr. Rusdi Omar berkata, Barisan Nasional (BN) perlu menggariskan manifesto bersifat memakmur dan mensejahterakan rakyat yang merangkumi semua aspek termasuk ekonomi dan soaial.

“Saya sangat bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Mustapa Mohamad bahawa dalam manifesto BN Kelantan nanti beliau akan mengambil kira tentang prestasi Pas selama 27 tahun (1990-2017) tadbir negeri.

“Hampir tiga dekad kemakmuran dan kesejahteraan mereka masih terabai dan kurang memuaskan di bawah Kerajaan Kelantan yang ada hari ini,” katanya. – 11 Oktober 2017.