Aksem Rampas Rokok Bernilai RM1.1 Juta

Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup 8,250 karton rokok berjenama U2 yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta termasuk cukai selepas menahan sebuah lori di jalan Kampung Bahagia, Jerteh Terengganu, semalam.

Sebelum itu, anggota penguatkuasa Aksem telah mengejar lori tersebut sejauh 50 kilometer dari Pantai Senok, Bachok sebelum kenderaan terbabit ditinggalkan pemandu di kawasan berkenaan kira-kira pukul 7 pagi.

Komander Aksem negeri, Mohd. Asri Yahya berkata, seramai lima anggota yang menggunakan dua kenderaan telah membuat intipan dan mengekori pemandu tersebut di kawasan Pantai Senok menghala ke Kuala Terengganu.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu lori tersebut kemudian telah memecut laju dan memasuki persimpangan Jalan Bahagia. Pemandu lori tersebut kemudian melarikan diri di kawasan hutan berdekatan.

“Kita cuba menjejaki pemandu terbabit tetapi gagal. Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut, kita menemukan sebanyak 8,250 karton atau 1,650,000 batang rokok jenama U2 dianggarkan bernilai RM1.1 juta,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Aksem negeri hari ini.

Tambahnya, rokok berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand melalui Pantai Senok untuk pasaran sekitar Terengganu dan Pahang.

“Kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – 12 Oktober 2017.