Tipu Tiga Individu Termasuk Dua Pemain Bola Sepak Kelantan, Kontraktor Dipenjara 30 Bulan, Sebat

Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman 30 bulan penjara dan tiga sebatan ke atas seorang kontraktor selepas didapati bersalah menipu tiga individu termasuk dua pemain bola sepak Kelantan untuk tender nombor pendaftaran kenderaan membabitkan wang sebanyak RM43,100.

Tertuduh, Wan Hazrul Anuar Wan Hussein, 34, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad dan satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Nik Habri, Wan Hazrul Anuar didakwa telah memperdaya pemain bola sepak Kelantan, Mohd. Nor Farhan Muhammad, 33, dengan mendorong mangsa membuat transaksi pemindahan wang sebanyak RM10,000 ke dalam akaun Maybank 163028624936 atas nama Shahriza Solahuddin, 38.

Wang tersebut kemudian dipindahkan ke akaun CIMB bank tertuduh, bernombor 7616981604 untuk tujuan tempahan nombor pendaftaran kenderaan WWW10.

Di mahkamah sama, dia turut didakwa menipu seorang lagi peniaga aksesori kereta, Low Eng Seng, 49, sebanyak RM29,600 untuk tempahan nombor pendaftaran kenderaan DDD22; DDD68; DDD77; DDD999; DDD33; DDD99; DDD8; DDD88; DDD888; DDD8888; DDD222; DDD333; DDD666; dan DDD777.

Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Mohd. Azrul Hasyimi, tertuduh mengaku menipu seorang lagi pemain bola sepak Kelantan, Zairul Fitree Ishak, 32, sebanyak RM3,500 untuk tempahan nombor pendaftaran kenderaan VV24. – 12 Oktober 2017.