Ancaman Dadah Di Kelantan Perlu Diberi Perhatian Serius

Ancaman dadah di Kelantan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khususnya masyarakat, ibu bapa dan ketua-ketua kampung.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, aktiviti penyalahgunaan dadah di dapati amat serius apabila boleh dikatakan hampir setiap kawasan tidak kira kampung, tanah rancangan atau taman perumahan mempunyai masalah tersebut.

Katanya, bermula awal tahun ini sehingga kini pihaknya sudah membuat sebanyak 600 tangkapan.

“Kita memandang serius perkara itu dan mengarahkan pegawai serta anggota di semua peringkat perangi habis-habisan gejala itu yang boleh memusnahkan masa depan bersama.

“Walaupun tindakan selalu diambil bagi membendung gejala itu, tetapi belum menemui jalan noktahnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Taman Angkat Amanita, Peringkat Kontijen Kelantan, di Taman Kesedar Jaya, Gua Musang.

Hasanuddin berkata, selain kes berkaitan dadah, kes jenayah kekerasan di negeri itu juga meningkat dan membimbangkan terutamanya bagi golongan wanita.

“Kes jenayah kekerasan itu meningkat 57 kes tahun ini kepada 456 kes berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu 399 kes,” katanya. – 13 Oktober 2017.