PPDNKK Tahan Tiga Warga Thailand Cuba Seludup Petrol

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol ke negara jiran Isnin lalu.

Dalam serbuan sekitar pukul 9.30 pagi hari tersebut, PPDNKK menahan tiga warga Thailand berusia sekitar 40-an dan tiga buah kenderaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang.

Pengarah PPDNKK negeri, Datuk Ab. Ghani Haron berkata, rampasan bahan api tersebut membabitkan nilai RM9,414 termasuk tiga buah kenderaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati petrol itu dibeli dengan harga subsidi dari stesen minyak di sekitar kawasan sempadan Rantau Panjang.

“Dalam operasi itu, kita berjaya menahan tiga buah kenderaan iaitu dua buah kereta Proton Saga dan sebuah Proton Wira secara serentak.

“Ketiga-tiga buah kenderaan ini sarat dengan muatan minyak.

“Berdasarkan siasatan, modus operandi yang dijalankan adalah mengutip minyak antara stesen ke stesen,” katanya dalam sidang media semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Firdus Zakaria.

Dalam pada itu, Ab. Ghani memberitahu, jumlah keseluruhan kes di bawah akta kawalan bekalan 1961 di Kelantan bagi Januari hingga kini adalah sebanyak 84 kes dengan nilai sitaan RM156,950.

“Kes berkenaan melibatkan gula, minyak masak dan tepung (35 kes), Bahan api (47 kes) dan tong gas petroleum cecair (LPG) (2 kes),” katanya. – 13 Oktober 2017.